PERLEMBAGAAN BAGI PERTUBUHAN INDUK PERSATUAN PESARA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA MALAYSIA (PPM-003-10-01102004)
UNDANG-UNDANG BAGI PERSATUAN PESARA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA () MALAYSIA
Fasa 1: Nama
- Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PESARA UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA MALAYSIA, Selepas ini disebut “Pertubuhan”
- Takrif Nama PESUTIMA
- Taraf Pertubuhan: Lain-lain
Fasa 2: Alamat
Alamat dan tempat Persatuan ialah
ARAS 2, KOMPLEKS TERATAI 1,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM)
40450 SHAH ALAM
SELANGOR DARUL EHSAN
dan alamat untuk surat menyurat
ARAS 2, KOMPLEKS TERATAI 1,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM)
40450 SHAH ALAM
SELANGOR DARUL EHSAN
Atau ditempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa
Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Fasa 3: Tujuan/Matlamat
Tujuan dan matlamat Persatuan adalah seperti berikut:
- Mengumpul dan menyatukan semua pesara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam satu organisasi.
- Mewujudkan perpaduan dan persefahaman di kalangan ahli-ahlinya.
- Memelihara kebajikan dan kepentingan ahli-ahlinya bersabit dengan pihak berkuasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kerajaan.
- Mengadakan kemudahan-kemudahan tertentu bagi faedah ahli-ahli Persatuan.
- Memperolehi, membeli, menyewa / memajak atau memiliki tanah, bangunan-bangunan, saham dan aset-aset bagi faedah dan kebajikan Persatuan dan ahli-ahlinya.
- Menjalankan usaha-usaha perniagaan bagi menambah kumpulan wang Persatuan ini. Bagaimanapun semua wang dan keuntungan yang diperolehi oleh Persatuan ini dari penyertaan dalam sebarang perniagaan, hendaklah digunakan hanya ke arah perlanjutan, penggalakan dan perlaksanaan maksud Persatuan ini. Wang dan keuntungan itu tidak boleh dibayar sebagai dividen, bonus atau keuntungan kepada seseorang ahli Persatuan ini. Persatuan ini boleh membayar dengan ikhlas upah atau perbelanjaan sedemikian atau kedua-duanya kepada seseorang ahli Persatuan ini atau kepada orang lain kerana perkhidmatan yang sebenarnya diberikan olehnya atau oleh mereka kepada Persatuan ini.
- Persatuan bertindak sebagai Urusetia kepada UiTM dan menguruskan program atau aktiviti dan hal-hal kebajikan di kalangan pesara yang menjadi ahli persatuan.
Fasa 4: Keahlian
1. Ahli Seumur Hidup
(a) Keahlian persatuan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang dilantik sebagai kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM)
dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) berjawatan TETAP (Penerima Pencen atau KWSP) yang bersara wajib,
bersara secara pilihan atau dibersarakan atas sebab-sebab kesihatan yang diperakukan oleh Lembaga Perubatan.
(b) Kakitangan Kerajaan yang telah bersara dan dilantik berkhidmat secara KONTRAK dengan UiTM bagi tempoh tidak kurang LIMA (5)
tahun serta menjadi ahli Tabung Khairat Kematian semasa berkhidmat dan telah menamatkan kontrak dengan baik dan memuaskan.
(c) Kakitangan yang dilantik secara PINJAMAN daripada mana-mana agensi awam, atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan UiTM bagi tempoh tidak kurang LIMA (5) TAHUN dan telah menamatkan perkhidmatan dengan baik dan memuaskan.
2. Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa bagi diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan jika didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
3. Tiap-tiap pemohon yang telah diluluskan permohonannya hendaklah membuat semua bayaran / sumbangan sepertimana yang ditetapkan oleh Persatuan.
Fasa 5: Pemberhentian & Pemecatan Ahli
-
- Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan ini hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan semua hutangnya.
- Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh digugurkan atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa menggugurkan atau menggantung ahli tersebut, ahli hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pengguguran atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pengguguran atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
- Mana-mana ahli yang membawa apa-apa isu / kes ke Mahkamah dengan sendirinya keahliannya adalah terbatal. Jika terdapat sebarang kos yang terlibat maka ianya terletak atas tanggungan ahli berkenaan.
Fasa 6: Yuran
-
Bayaran pendaftaran, yuran dan bayaran lain bagi ahli PESUTIMA adalah berikut:
1. Yuran Ahli PESUTIM
(a) Yuran Pendaftaran sebanyak RM10.00 (Sepuluh Ringgit)
(b) Yuran Ahli Seumur Hidup (ASH) sebanyak RM100.00 (Satu Ratus Ringgit)
(c) Yuran Khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli.
Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan maka wang itu akan dianggap sama
seperti hutang yuran.
2. Sumbangan
Pertubuhan ini dibenarkan menerima sumbangan dalam bentuk wang dan Barangan. Sumbangan berbentuk wang hendaklah diistiharkan
dengan jelas dan tepat dalam Penyata Tahunan pertubuhan.
3. Kegiatan Ekonomi
Pertubuhan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih serta lain-lain kegiatan ekonomi.
Fasa 7: Sumber Kewangan
-
Bayaran pendaftaran, yuran dan bayaran lain bagi ahli PESUTIMA adalah berikut:
1. Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak melebihi daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
3. Mesyuarat Agung Dua Tahun sekali (Dwi Tahunan) bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:
(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun lalu;
(b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;
(c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk dua tahun yang akan datang; dan
(d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
4. Setiausaha hendaklah menghantar notis Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kepada ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari berserta satu agenda mesyuarat termasuk laporan tahunan serta penyata kira-kira pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit melalui media elektronik
5. Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
(a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
(b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.
6. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
7. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Mesyuarat kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat melalui media elektronik.
8. Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
Fasa 8: Jawatankuasa
-
Satu Jawatankuasa seperti yang berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih didalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan seperti berikut:
• Seorang Presiden
• Seorang Timbalan Presiden
• Seorang Setiausaha
• Seorang Penolong Setiausaha
• Seorang Bendahari
• Seorang Penolong Bendahari
• 7 orang Ahli Jawatankuasa Bias
2. Pegawai-pegawai Persatuan yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.
3. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua tahun.
4. Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atau perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam dua tahun kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya enam (6) daripada tiga belas (13) bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
6. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran Surat Pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima :
(a) Masalah yang dibangkitkan ini hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan didalam peringatan mesyuarat.
7. Ahli-ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa 3 (tiga) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
8. Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Dwi Tahunan diadakan.
9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan
10. Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.
11. Jawatankuasa yang telah menamatkan perkhidmatan bagi penggal tersebut boleh diberikan sumbangan honorarium yang difikirkan sesuai sebagai tanda penghargaan diatas perkhidmatan sukarela yang diberikan.
Fasa 9: Kewajipan-Kewajipan Pegawai
-
Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.
2. Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.
3. Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Dwi Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966
4. Penolong Setiausaha hendaklah membantu Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.
5. Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha.
6. Penolong Bendahari hendaklah membantu Bendahari menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.
7. Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diputuskan dari semasa ke semasa
Fasa 10: Kewajipan-Kewajipan Pegawai
-
Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji atau saguhati, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
2. Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM1,000.00 (Satu Ribu Ringgit) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.
3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua (2) orang iaitu Bendahari dan Presiden atau Bendzahari dan Setiausaha.
4. Pengurusan Kewangan Persatuan
(a) Perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (Sepuluh Ribu Ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM100,000.00 (Satu Ratus Ribu Ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM10,000.00 (Sepuluh Ribu Ringgit) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari
5. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 Undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Dwi Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.
6. Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.
Fasa 11: Pemeriksa Kira-Kira
-
Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.
2. Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
Fasa 12: Pentadbir Harta / Pemegang Amanah
-
Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
2. Pengamanah tidak boleh menjual, menarikbalik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.
3. Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik dalam Mesyuarat Agung.
Fasa 13: Tafsiran Undang-Undang
-
Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung
Fasa 14: Penasihat / Penaung
-
Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
Fasa 15: Larangan
-
Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Ben, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib dan semua jenis permainan video.
2. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apacara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.
3. Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau Pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.
4. “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Persatuan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.
Fasa 16: Pindaan Undang-Undang
-
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Fasa 17: Pembubaran
-
Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.
2. Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.
3. Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.